BIDOR– Tiga parah manakala tiga lagi cedera ringan selepas kereta dinaiki mereka merempuh bahagian belakang lori treler di KM347.2 Lebuhraya PLUS arah Selatan, di sini hari ini.

Jurucakap Bomba berkata kemalangan berkenaan membabitkan sebuah kereta Perodua Alza dan sebuah lori treler yang berhenti di bahagian tepi jalan susur masuk ke hentian rehat dan rawat Ladang Bikam.

Menurutnya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 4.05 petang sebelum sepasukan anggota dan satu jentera tiba di lokasi berkenaan.

“Setibanya jentera di tempat kejadian didapati terdapat seorang wanita lingkungan 39 tahun tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan cedera parah di bahagian muka.
“Dua orang warga emas lingkungan tahun, seorang lelaki tidak sedarkan diri, seorang wanita patah kaki, di samping itu seorang kanak-kanak tidak sedarkan diri manakala yang lain cedera ringan.
“Mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh anggota bomba dan dan dihantar ke hospital dengan ambulans yang tiba di lokasi kejadian,”katanya.
Operasi yang diketuai Pemangku Penyelia Pegawai Bomba, Mohd Nizam Mohd Affendi tamat sekitar 4.50 petang.