PARIT BUNTAR: Tiga parti politik di Parit Buntar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Islam Semalaysia (PAS) dan Umno, sepakat mengenepikan fahaman politik dan bergabung tenaga dalam misi membantu golongan memerlukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Bersatu Parit Buntar, Md Nayan Salleh, berkata memandangkan PKP kini berlanjutan hingga fasa ke 3,justeru pihaknya bersama dua pemimpin parti politik iaitu PAS dan Umno, telah membuat perbincangan untuk sama-sama bergabung dan menggembling tenaga membantu rakyat yang terkesan.

Menurutnya, susulan itu sebanyak 300 kampit beras yang diterima Bersatu dari Kerajaan Negeri, diagihkan sama banyak kepada PAS dan Umno.

” Hari ini kami menyerahkan 100 kampit beras kepada PAS dan 100 kampit beras juga kepada Umno.

” Tiada agenda politik, kita akan bergabung tenaga dan menyampaikan bantuan ini kepada 300 keluarga yang memerlukan sepanjang PKP.

” Insyaalah bantuan dan kerjasama sebegini akan diteruskan dari masa ke semasa dan kami amat berharap kerajaan negeri dapat menambahkan lagi stok bantuan ini berikutan masih ramai yang  memerlukannya sepanjang PKP,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan 200 kampit beras kepada Ketua Umno Bahagian Parit Buntar, Datuk Abu Bakar Mat Ali dan Naib Ketua Pemuda Pas Parit Buntar, Hakimi Hamzi Mohd Hayat.

Menurutnya, sehingga kini Bersatu Parit Buntar yang turut disertai Armada dan Srikandi telah menyerahkan hampir 1,500 pek makanan kepada golongan yang memerlukan.

” Dari Bersatu Parit Buntar, selain beras kita turut selitkan kotak makanan sebelum diserahkan kepada penerima bagi memastikan bantuan yang diterima itu dapat bertahan lama,” ujarnya.