IPOH – Tiga pelajar lelaki Tingkatan Tiga sebuah sekolah berasrama penuh di Parit ditahan bagi membantu siasatan kes buli melibatkan seorang pelajar junior.

Kejadian sekitar jam 1 pagi, 27 Ogos lepas itu, mangsa pelajar lelaki Tingkatan Satu dilapor ditendang dan dipukul serta ditumbuk di bahagian perut beberapa kali oleh sekumpulan pelajar.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, ketika kejadian, mangsa yang sedang tidur dibawa ke bilik televisyen bangunan asrama sekolah terbabit.

Menurutnya, bilik terbabit sengaja dibiarkan dalam keadaan gelap, mangsa telah ditendang dan dipukul dihadapan dan belakang anggota badan termasuk kepala.

“Mangsa yang berada dalam keadaan lemah ditinggalkan di situ beberapa minit sebelum kumpulan berkenaan kembali dan memukul mangsa sekali lagi beberapa kali dengan kuat.

“Mangsa cuba menjerit tetapi mulutnya ditutup, kumpulan itu juga memberi amaran kepada mangsa untuk tidak melaporkan perkara itu kepada sesiapa,” katanya.

Seorang daripada kumpulan terbabit dipercayai seramai lima orang turutmengugut mangsa agar keluar dari bilik itu dalam masa lima minit, sekiranya tidak mahu dipukul lagi menyebabkan mangsa beredar dan menyambung tidur.

Mohamad Zainal berkata, kejadian itu disyaki berpunca daripada aduan dibuat mangsa kepada pengurusan sekolah mengenai kegiatan pelajar seniornya yang selalu meminta duit daripada mangsa dan rakan.

“Mangsa tidak dapat mengecam kumpulan terbabit kerana ketika kejadian kesemua mereka menutup muka dengan kain, namun mangsa mengesyaki kumpulan yang memukulnya merupakan pelajar senior Tingkatan Tiga,” katanya.

Beliau berkata, semua pelajar Tingkatan Tiga terbabit telah dibebaskan dengan jaminan polis, malam tadi.

Katanya, mangsa yang mengalami sakit-sakit di bahagian kepala dan badan masih menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

“Polis sedang mengenal pasti beberapa pelajar lagi yang terlibat dalam kes itu bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan,”  katanya.