BATU CAVES: Tiga penjenayah yang disyaki aktif melakukan samun ke atas pelanggan bank di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan maut ditembak polis selepas berbalas tembakan di Jalan Sg Tua, Hulu Yam Bharu, Batu Caves dekat sini, hari ini.

Kesemua suspek berusia linkungan 30 hingga 40-an berkenaan yang menaiki kereta Suzuki Swift berwarna putih pada mulanya dikesan polis di Bandar Baru Selayang kira-kira pukul 6 petang, sebelum mereka memecut untuk melarikan diri tetapi berjaya dipintas polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian berkata penjenayah bagaimanapun enggan menyerah diri apabila diminta berbuat demikian, sebaliknya bertindak melepaskan satu das tembakan.

“Anggota kita terpaksa membalas tembakan yang mengenai kesemua suspek dan kesemua mereka maut di lokasi kejadian,” katanya.

Fadzil berkata pemeriksaan ke atas kereta suspek membawa kepada penemuan sepucuk pistol, empat peluru, dua bilah parang serta barangan peribadi mereka.

“Identiti suspek sama ada warga tempatan atau warga asing sedang dikenal pasti,” katanya menambah bahawa mayat mereka telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Dalam perkembangan sama, Fadzil berkata sebanyak 86 kes samun pelanggan bank dengan anggaran kerugian RM8 juta direkodkan di Selangor sepanjang tahun ini.

“Polis memandang serius kegiatan samun terhadap mangsa yang baru keluar dari bank dan meminta orang ramai untuk lebih berhati-hati,” katanya.