PADANG RENGAS – Calon Barisan Nasional dijangka menghadapi laluan sukar pada terutama di kawasan majoriti pengundi Melayu berikutan wujud banyak pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata pertandingan tiga penjuru itu akan menyebabkan undi Melayu berpecah kepada tiga bahagian.

732c97c7-8c05-4d00-a116-125f37ba8f8c

Katanya scenario pertembungan ini menyebabkan jentera BN di kawasan majoriti Melayu perlu bekerja lebih kuat untuk memastikan kemenangan.

“Pandangan saya sendiri undi Melayu sekarang berpecah belah kepada tiga dan di sini (Parlimen Padang Rengas) kalau PKR, PAS dengan UMNO yang mewakili BN bertembung maka ia bukan jalan mudah.

Sebagaimana kita tahu, PKR juga dianggap sebagai parti Melayu yang ada keupayaan untuk dapat undi Melayu.

 “Kita kena kerja kuat, pilihan raya pun tak lama saja lagi dan ia bukan laluan mudah jika betul berlaku pertembungan sebegitu. Kalau PAN yang bertanding dia curi undi PAS tak apa..tapi masalahnya PKR juga mendapat sokongan  dari orang bukan Melayu.

 “Tapi kalau PKR taK bertanding… maknanya PAN, PAS dengan UMNO senanglah sikit,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Perjumpaan Pemimpin Bersama Jentera Jalinan Rakyat Parlimen Padang Rengas di Dewan Millenium, di sini pada Ahad.

Yang turut sama Ketua Pergerakan UMNO Bahagian Padang Rengas merangkap ADUN Lubok Merbau, Datuk Siti Salmah Jusak dan ADUN Chenderoh, Datuk Zainun Mat Noor.

 Sementara itu, beliau yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan meramalkan PRU-14 akan diadakan sebelum menjelangnya Ramadan iaitu bulan April.

Katanya bulan April merupakan masa paling sesuai kerana berdasarkan mood pada hari ini Barisan Nasional memiliki kelebihan berikutan banyak pergolakan dalaman yang berlaku dalam parti pembangkang.

 “Memandangkan tengah bulan 5 (Mei) kita dah puasa dan sekarang mood yang saya nampak dan saya dengar ada kelebihan buat kita jadi memang sesuai.

 “Kalau habis saja Parlimen pada 5 April maka bila-bila masa selepas itu saya rasa kita akan adakan Pilihan Raya, sebab itu saya kata sudah terlalu dekat pilihan raya,” katanya.