Tiga pusat pemindahan mangsa banjr telah dibuka di Manjung dan Larut Matang & Selama (LMS) ekoran hujan lebat di kedua-dua daerah tersebut sejak petang Isnin.

Jurucakap sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri (JKPBN) berkata tiga pusat pemindahan itu menempatkan 222 mangsa daripada 74 keluarga setakat ini.‎

Daripada jumlah itu, 89 mangsa daripada 27 keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Dewan Inderawati, Beruas sejak 10 malam tadi, katanya.

Mangsa tersebut daripada lapan kampung di DUN Pengkalan Baru yang dinaiki air lebih 1.2 meter, katanya.

“Bagi Daerah LMS pula, Pusat Pemindahan Orang Ramai Simpang Halt dibuka jam 7 malam tadi menempatkan 78 mangsa dari 30 keluarga.

Manakala di Dewan Orang Ramai Kampung Jelapang Jaya dibuka pada jam 10 malam menempatkan 22 mangsa dari 7 keluarga,” katanya.

Tambah beliau, di Kuala Kangsar pula seramai 33 mangsa dari 10 keluarga dari kampung Lempor Hilir terkesan daripada banjir kilat lewat petang tadi namun tiada pusat pemindahan dibuka.

Lapan kampung yang terjejas ekoran banjir di Beruas itu adalah Kampung Kilang, Kampung Gaduh, Kampung Paya Takung, Kampung Pulau Meranti, Kampung Paya Ara, Kampung Masjid Lama, Kampung Pulau Kabung dan Kampung Tersusun Beruas.‎

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Datuk Yahaya Madis berkata hujan lebat selama beberapa jam di Beruas telah menyebabkan Kampung Kilang dan Kapung Tersusun dinaiki air setinggi 1.2 meter pada malam Isnin.

Kata beliau pihaknya telah mula menjalankan operasi pemantauan dan mengeluarkan mangsa terlibat bermula lapan malam tadi.

“Operasi kita telah bermula pada jam 8 malam tadi dengan 10 anggota menggunakan 6 aset jabatan untuk membantu mangsa yang terlibat.

“Bomba telah mengeluarkan mangsa yang tersangkut di dalam banjir di Kampung Kilang seramai tiga orang dengan menggunakan bot fiber,” ujarnya.

Tambah beliau pihaknya masih lagi memantau keadaan banjir tersebut dan akan mengambil tindakan yang diperlukan.