GURUN: Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar dadah heroin seberat 83.58 gram, bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Zuhaidy Hashim, 38; Yap Siang Tatt, 40, dan Hasnizam Mustapa, 36, selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Hasnizam yang cedera terkena tembakan dalam kejadian penahanannya oleh polis terpaksa dipapah dua lagi rakannya ketika berada dalam kandang tertuduh.

Dalam prosiding itu, mereka mengangguk faham namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan itu di tepi jalan Gurun-Jeniang berdekatan kilang Modenas, di sini, pada jam 11.20 malam, 31 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan jika tidak digantung sampai mati.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa RayaMohamad Azlan Basri, manakala tertuduh diwakili peguam, M Thanakumaran.

Mahkamah menetapkan 24 Oktober ini untuk sebutan semula kes – berita harian