TIGA remaja lelaki, termasuk dua yang masih bersekolah ditahan polis selepas menceroboh sekolah menengah di Merlimau, Jasin, Ahad lalu.

Kejadian 11.30 malam itu disedari pengawal keselamatan sekolah terbabit, sebelum memaklumkan kepada pihak polis.

Jurucakap polis berkata, semua suspek yang ditahan berusia 13, 14 dan 17 tahun, dengan dua daripadanya masih bersekolah.

“Remaja ini ditangkap oleh pengawal keselamatan sekolah yang sebelum itu melihat kelakuan curiga mereka melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Mereka kemudian diserahkan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Nor Yhazid Idris ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan mengenai penahanan kumpulan remaja itu.

Katanya, siasatan awal mendapati dua daripada tiga suspek masih bersekolah, manakala seorang lagi bekerja di kedai makan.

“Hasil pemeriksaan, semua mereka bebas daripada pengambilan bahan terlarang hasil ujian air kencing yang dilakukan.

“Ketiga-tiga suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 488 Kanun Keseksaan,” katanya – hmetro