TAIPING: Tiga sekawan maut apabila kenderaan mereka merempuh sebuah lori dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 225, Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Rehat dan Rawat (R&R) Bukit Gantang pada Sabtu.

Dalam kejadian sekitar 8.50 pagi itu, mangsa,pemandu kenderaan jenis MyVi, Lobptihai Lee Sern Koung,25, dan Tan Hock Lai,24 maut di tempat kejadian manakala rakan mereka,Ong Cheng Lian,23, maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital Taiping.

Ketua Polis Daerah Taiping,Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata ketiga-tiga mangsa itu dipercayai dalam perjalanan ke Pulau Pinang sebelum terlibat dalam insiden berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kenderaan milik mangsa dan sebuah lagi lori sedang dalam perjalanan dari Ipoh ke Pulau Pinang, sebelum MyVi milik mangsa secara tiba-tiba melanggar bahagian belakang lori tersebut.

“Susulan rempuhan itu, pemandu dan penumpang hadapan telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital Taiping,”katanya kepada pemberita.

Mohamad Taib berkata seorang lagi rakan, berusia 23 tahun hanya mengalami kecederaan ringan dan kini mendapatkan rawatan susulan.

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”ujarnya lagi.