CHERAS: Tiga remaja perempuan berusia 17 tahun sesat hampir empat jam selepas mendaki Bukit Apek, Cheras Awana, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, mereka gagal mencari jalan turun sebelum berjaya diselamatkan anggota bomba pada jam 11.13 malam.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Alimaddia Bukri, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang mangsa terbabit pada jam 8.19 malam memaklumkan mereka tersesat di bukit itu.

Berikutan itu, katanya, sepasukan 23 anggota dikerahkan ke lokasi bagi mencari dan menyelamatkan mangsa.

“Ketiga-tiganya berjaya dijumpai dalam keadaan keletihan selepas tersesat hampir satu kilometer dari laluan masuk utama kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi, pagi tadi.

Alimaddia berkata, cuaca gelap dipercayai menjadi punca ketiga-tiga remaja terbabit panik dan tidak dapat mencari laluan turun.

Katanya, mereka diserahkan kepada ibu bapa masing-masing sebaik berjaya dibawa keluar kira-kira jam 11.20 malam – berita harian