IPOH: Tiga sahabat dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh daripada tuduhan mengedar dadah jenis heroin dan monoacetylmorphines sejumlah 69 gram kira-kira empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, SM Komathy Suppiah membuat keputusan itu setelah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes tersebut.

Noryanti Md Noor, 31, dan Mohd Nizam Mohamad Desa, 38, masing-masing menganggur manakala Muhamad Ridool Omar, 37, yang bekerja sebagai pemandu lori didakwa mengedar dadah tersebut di tempat letak kereta hadapan Hotel Grand Paradise, kilometer 191.4 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol.

Mereka bertiga didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 13 Oktober 2013 kira-kira jam 7.15 malam.

Berikutan itu, mereka boleh dihukum mengikut seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Noryanti diwakili peguam R S N Rayer, Mohd Nizam diwakili peguam Nik Mohamad Ikhwan Nik Mahamud dan Normah Mohd Desa manakala Muhammad Ridool diwakili P Ravee.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzi Md Yusof.