IPOH: Tiga sekawan menarik nafas lega apabila mereka dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada Jumaat daripada tuduhan membunuh peniaga kedai perabot, empat tahun lalu.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membebaskan Tee Chih  Wei, 29, dan rakannya Izwan Mohamad,30 dan Mohd Kasful Anuar Ghazali, 29 selepas mendapati pihak pendakwa gagal membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.

Tertuduh pertama, Tee bekas mekanik dituduh membunuh Ong Chee Leong, 58, yang merupakan bapa kepada teman wanitanya.

Jenayah itu dikatakan berlaku di Foong Soon Furniture Trading, Jalan Tupai, Taiping pada 10.45 pagi, 8 julai 2012.

‎Ketiga mereka didakwa mengikut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Hayatul Akmal dalam keputusannya berkata, tertuduh pertama dikatakan mahu mengertak serta memberi amaran kepada Ong kerana sering memukul isteri serta anak tirinya yang merupakan teman wanita Tee.

Sehubungan itu, Tee meminta bantuan seorang rakan untuk mencari orang bagi mengertak mangsa sebelum diperkenalkan dengan tertuduh kedua iaitu Izwan Mohammad yang berjaya mengajak tertuduh ketiga, Mohd Kasful.

Bagaimanapun, sebelum sempat mengertak serta memberi amaran kepada mangsa pada hari kejadian, Tee telah diberitahu mangsa telah meninggal dunia akibat dibunuh.

‎Menurut hakim, sepanjang perbicaraan keterangan daripada ketiga-tiga tertuduh adalah konsisten, malah saksi pendakwaan juga setuju mereka hanya ingin mengertak mangsa dan bukannya membunuh.

Hayatul Akmal juga berkata tiada saksi yang melihat ketiga-tiga tertuduh di lokasi kejadian dan pihak pendakwan tidak menyoal balas tujuan mengertak mangsa.

Sebanyak 26 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan itu.
 
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Jeffry Ong, manakala Tee diwakili Muhammad Ashraff Mohd Diah dan Mohd Ruzaimi Zulkifli.

 Tertuduh kedua Izwan diwakili peguam V.santhiran, manakala Mohd Kasful diwakili Ranjit Singh Sandhu.