KUALA KANGSAR: Tiga sekeluarga, termasuk sepasang suami isteri sanggup membawa empat anak mereka, termasuk dua bayi untuk melepaskan gian di sebuah rumah di Taman Anggerik di sini, petang Selasa.

Mereka diberkas bersama enam lagi di rumah tersebut dalam Op Perdana yang dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Kangsar di sekitar daerah ini, mulai jam 2 petang.

Ketua pegawai AADK Kuala Kangsar, Naemah Baharuddin berkata, pasangan suami isteri berumur 27 dan 23 tahun itu membawa bayi mereka yang berumur setahun lapan bulan manakala adik kepada lelaki tersebut membawa tiga anaknya yang berumur antara enam bulan hingga enam tahun.

“Terdapat papan tanda di perkarangan rumah berkenaan yang menunjukkan kononnya ia turut berfungsi sebagai pusat membaiki peralatan eletrik, dipercayai untuk mengaburi mata, khususnya jiran yang melihat rumah itu kerap dikunjungi,” katanya di sini.

Menurutnya, mereka adalah antara 14 penagih yang diberkas dalam operasi dua hari itu yang berakhir hari ini.

“Lima lagi lelaki ditahan di sekitar kawasan Manong, dalam serbuan yang dilakukan di Dataran Amanjaya Manong yang dijadikan tempat melepak empat dari lima penagih berkenaan selain serbuan ke atas sebuah rumah,” ujarnya.

Naimah berkata, kesemua 14 yang ditahan berusia antara 23 hingg 57 tahun dan saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.

Menurutnya, semakan juga mendapati sembilan daripada mereka merupakan penagih baharu yang tiada rekod.

Katanya, operasi itu yang dilaksanakan dengan kerjasama AADK negeri Perak dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), melibatkan 40 anggota.

Kes disiasat mengikut seksyen 31 dan 41(b) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan permohonan reman selama 14 hari dibuat hari ini.