BATU GAJAH – Pemandu dan kelindan lori yang terlibat dalam kemalangan sehingga mengakibatkan tiga sekeluarga maut berhampiran Kampung Teluk Memali, Jalan Bota Kanan-Teluk Intan pagi semalam direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

Suspek berusia 25 dan 27 tahun itu ditahan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap mereka mengikut Seksyen­ 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara berbahaya dan mendatangkan bahaya kepada orang awam.

Perintah reman sehingga 17 Disember ini dikeluarkan Majistret Mohd. Fitri Sadarudin dalam prosiding di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Kosmo! hari ini melaporkan, dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Ahmad Nor Al-Zaidin Ahmad Azzudin, 35, bersama isteri, Norhaslina Abdul Razak, 27, dan adiknya, Nor Azira Ahmad Azzudin, 24, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan hasil ujian saringan air kencing terhadap pemandu dan kelindan lori juga mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis methamphetamine. – K! ONLINE