PARIT – Tindakan pantas seorang lelaki mengarahkan isteri dan anaknya keluar daripada rumah menyelamatkan mereka apabila rumah didiami musnah 35 peratus dalam satu kebakaran di Taman Desa Permai, di sini, lewat pagi tadi.

Ketua Operasi, Penolong Penguasa Bomba Mohd Ismail Mohd Yunus mengesahkan menerima panggilan kecemasan pada jam 11.55 pagi dan menghantar sepasukan sembilan anggota dengan sebuah jentera.

“Setibanya jenteran di lokasi kejadian, didapati berlaku kebakaran di sebuah bilik yang dijadikan stor dan dapur.

kawasan kebakaran

“Rumah tersebut adalah jenis kelas A yang berkeluasan 80 kaki x 30 kaki.

“Pasukan bomba membuat kerja pemadaman dengan menggunakan satu aliran dua pancutan 200 kaki sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya,” ujar beliau ketika dihubungi Suara Perak.

Menurut beliau, Balai Bomba dan Penyelamat seri Iskandar turut menghantar sepasukan tujuh anggota dan sebuah jentera untuk membantu memadamkan api.

“Kebakaran tersebut bagaimanapun tidak melibatkan mangsa dan kecederaan,” tambah beliau.

Mohd Ismail berkata punca kebakaran masih dalam siasatan.

Bomba mengambil masa 10 minit untuk memadamkan api dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 1.04 petang.