Oleh:Nazialita Geynna Maharan

SERI MANJUNG: Tiga suspek kes bunuh dua Laskar Kelas 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bilik Tahanan Unit, Stesen Komunikasi TLDM di Sungai Wangi, Sitiawan dekat sini direman tujuh hari bermula hari ini hingga 7 Oktober.

Terdahulu, ketiga-tiga lelaki berusia 29, 37 dan 44 tahun yang memakai baju lokap jingga itu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini dengan menaiki lori polis pada pukul 8.45 pagi sebelum dibawa keluar sejam kemudian.

Majistret Nur Shaqira Ibrahim membenarkan penahanan reman itu dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Ketiga-tiga suspek yang juga anggota TLDM itu direman bagi membantu siasatan berhubung kematian Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailatuiman Mohd. Sukri, 26, selepas kedua-dua mereka meninggal dunia ketika menjalani latihan semasa diletakkan di dalam bilik tahanan unit stesen tersebut.

Sebelum in, polis mengesahkan keputusan bedah siasat pada pukul 11.30 malam (Sabtu) mendapati kedua-dua mereka meninggal dunia disebabkan pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul.

Sehubungan itu, polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.