GOPENG: Tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel eletrik dianggarkan bernilai RM40,000 di pencawang sebuah kilang simen di Kota Bharu, dekat sini, berjaya diberkas awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.10 pagi itu, polis menerima panggilan daripada pegawai keselamatan kilang Hume Cement yang memaklumkan telah menangkap tiga lelaki berumur antara 24 – 35 tahun, bersama-sama kabel yang telah dipotong di kawasan kilang berkenaan.

Menurut kenyataan polis, hasil siasatan di tempat kejadian, ketiga-tiga suspek yang berasal dari Kampar, ditangkap di belakang dinding pencawang elektrik kilang tersebut, berhadapan kawasan belukar.

“Peralatan yang digunakan untuk mencuri kabel dijumpai di belakang dinding pencawang elektrik dan tangkapan beserta rampasan barang kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” kata kenyataan itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Kesiksaan.