PARIT BUNTAR – Sudahlah rumah dipecah masuk, kereta dilarikan pula penyamun.

Begitulah nasib seorang mangsa kes pecah rumah di Taman Seri Tenggara di sini apabila rumahnya dipercayai dipecah masuk tiga suspek sewaktu mangsa tiada di rumah, lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kejadian itu dipercayai berlaku pada jam 7 hingga 8 malam apabila mangsa dipercayai tiada di rumah atas urusan peribadi.

Menurutnya, suspek yang menyedari ketiadaan mangsa dan ahli keluarga kemudiannya memecah masuk rumah mangsa melalui pintu hadapan.

“Polis tidak menolak kemungkinan suspek menyedari ketiadaan mangsa melalui pintu pagar tidak ditutup dan tidak dikunci.

“Suspek dipercayai seramai tiga orang kemudiannya melarikan sebuah telefon pintar jenis Vivo yang berada di dalam rumah mangsa.

“Namun, apabila mereka terjumpa kunci kereta ditinggalkan mangsa di rumah, mereka bertindak melarikan pula Perodua Myvi warna putih bernombor pendaftaran PJK 3038 yang berada di luar rumah,” katanya sewaktu dihubungi media di sini hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, kes pecah rumah dan melarikan kenderaan itu masih dalam siasatan dan polis sedang menjejaki kereta dicuri berkenaan.

Menurutnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian di talian 012-5195481 untuk membantu siasatan – sinar