MELAKA: Tiga lelaki, termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas tuduhan mencuri paip bernilai RM50,000, awal bulan ini.

B Vimalan, 32, SS Mogan, 34, dan adiknya, SS Murugan, 26, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Analia Kamaruddin.

Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh didakwa bersama-sama mencuri 220 paip HDPE (PN10) milik TP Jaya Sollution di Kawasan Perindustrian Balakong, Selangor.

Kesalahan itu dikesan apabila semua tertuduh ditahan di tepi jalan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), antara jam 4 hingga 8 pagi, pada 3 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin selepas mengambil kira nilai kerugian dialami pemilik paip.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan jaminan rendah dengan alasan menanggung anak, isteri dan keluarga.

Mahkamah kemudian menawarkan jaminan RM6,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin serta menetapkan 19 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam – berita harian