IPOH: Seorang pengurus hotel didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan memperdagangkan empat wanita warga Thailand bagi maksud eksploitasi seksual, sejak 2014.

Tertuduh, Ling Ong Weng, 34, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Norashima Khalid.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa memperdagangkan Nutsara Hemman, Nipaporn Sananmueang, Sirikon Maitoklang dan Patcharin Polkan yang berumur antara 23 dan 43 tahun bagi maksud eksploitasi seksual.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di Ritz Garden Hotel, Garden Reflexology, Tingkat 1, Lot 5260 dan 5261, Jalan Lumut, Seri Manjung pada 9.35 malam, dari tahun 2014 hingga 20 Januari 2017.

Pertuduhan ke atas Ling dibuat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzi Md Yusof manakala tertuduh diwakili peguam Kartini Mansor.

Norashima membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan serta kes disebut semula pada 26 Mei ini.

Di mahkamah sama, pasangan suami isteri, Lee Wai Keong, 41, dan Ho Siew Hong, 38, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memperdagangkan manusia bagi tujuan eksploitasi buruh paksa.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan pemerdagangan orang terhadap Layam (sub:she), 32, warga Indonesia bagi maksud eksploitasi buruh paksa dengan menggunakan kekerasan di Restoran Fancy Mee, No 1, Taman Lekir Baru, Jalan Raja Omar, Sitiawan pada 11.50 pagi antara 2 Mei 2015 hingga 3 Mac lepas.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua mereka yang merupakan pengurus restoran, turut dituduh melakukan pemerdagangan orang terhadap Leonardo Davincie, 28, warga Indonesia bagi maksud eksploitasi buruh paksa dengan menggunakan kekerasan di Restoran Fancy Mee, No 1, Taman Lekir Baru, Jalan Raja Omar, Sitiawan pada 3 petang antara 22 Mei 2015 hingga 25 Februari lepas.

Kedua-dua pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam yang tidak mahu namanya didedahkan.

Norashima kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap seorang bagi setiap pertuduhan dan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan serta kes disebut semula pada 26 Mei ini.