Oleh – Nazialita Geynna Maharan

 

IPOH: Perayaan Tahun Baru Cina mungkin 10 hari lagi namun tiket perjalanan pengangkutan awam seperti Perkhidmatan Keretapi Elektronik (ETS) telah habis terjual sejak pertengahan bulan lepas.

 

Permintaan bagi pengangkutan awam seperti ETS amat tinggi ketika cuti musim perayaan terutamaTahun Baru Cina.

 

Ini kerana bagi kaum Cina yang menyambutnya akan pulang ke kampung halaman untuk bersama keluarga manakala cuti panjang ini juga turut dimanfaat kaum lain untuk pulang bercuti.

 

Penggunaan pengangkutan ETS yang menjanjikan perjalanan lancar merupakan pilihan terbaik orang ramai terutama mereka yang tidak suka meredah dan terperangkap dalam kesesakan sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan untuk pulang bercuti.

 

Tinjauan yang dibuat mendapati tiket perjalanan keretapi Ipoh-Kuala Lumpur pergi balik telah habis terjual.

 

Malah, tidak mengejutkan apabila hampir 90 peratus tiket perjalanan bagi destinasi itu telah terjual minggu kedua Januari sejak tempahan tiket dibuka pada 31 Disember

Jurucakap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ketika dihubungi memaklumkan bahawa tiket perjalanan dari Kuala Lumpur ke Ipoh telah habis dijual bermula daripada 9 hingga 19 Februari.

 

Jelasnya, tiket perjalanan Ipoh ke Kuala Lumpur pula telah habis dijual pada 14 hingga 16 Februari begitu juga dengan 18-20 Februari ini.

 

“Buat masa ini, tiket untuk Ipoh-KL masih dijual untuk tarikh 12 dan 13 Februari, 16 dan 17 Februari manakala tarikh selebihnya telah habis.

 

“Begitu juga dengan perjalanan KL-Ipoh, tiket telah habis ditempah bagi 9 hingga 19 Februari,”ujarnya.

 

Simpati Dengan Pelajar

 

Bagi Vincent Gee, 40, beliau secara peribadi amat bersimpati dengan sesetengah penuntut kolej di Kuala Lumpur yang difahamkan tidak dapat pulang ke kampung halaman berikutan tiket yang terhad.

 

Berasal dari Sungai Petani, Kedah, Vincent yang bekerja sebagai seorang usahawan di Shanghai, China berkata KTMB merupakan sebuah syarikat yang berpotensi kerana menjadi pilihan pengangkutan ramai.

 

“Banyak lagi ruang untuk penambahbaikan yang perlu ditumpukan oleh KTMB, khususnya menyediakan lebih banyak koc berbanding enam koc dalam satu perjalanan hari ini.

 

“Saya bercakap hal ini bukan sebab saya meraikan Tahun Baru Cina, tetapi ramai rakan-rakan saya baik seperti Melayu dan India berasa kecewa dengan sistem KTMB yang terhad bagi penumpang,”katanya ketika ditemui di Terminal ETS Bandaraya Ipoh.

 

KTMB Harus Peka Musim Perayaan

 

Sementara itu, Mohamad Fadzil Husin, 50, yang merupakan seorang penasihat kewangan berkata KTMB seharusnya mempertimbangkan unsur Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk menjadi sebuah syarikat berdaya maju.

 

“Jika kita teliti, terdapat banyak IPT dan IPTS di Ipoh bermakna ramai pelajar akan berulang-alik, justeru ETS menjadi pilihan utama mereka kerana kos rendah dan murah, selain kedudukan terminal di setiap daerah.

 

“Apa salahnya KTMB jadikan ini sebagai sebahagian CSR mereka, banyakkan tiket di musim perayaan kerana kita juga ingin memberi peluang kepada mereka yang tidak mampu menggunakan kenderaan, bukan sekadar berbisnes sahaja,”katanya.

 

Mohamad berkata, beliau sering datang ke Ipoh bagi urusan kerja dan berdasarkan pemerhatian ianya amat membimbangkan sekiranya KTMB tidak mampu menambahbaik mutu perkhidmatan dengan segera.

 

“Perlu diingat, Ipoh kini semakin membangun justeru ramai yang datang melancong ke bandaraya ini khususnya di musim cuti sekolah, tetapi saya tengok koc sama, masa perjalanan tidak berubah baik di hujung minggu atau hari tertentu,ini bukan amalan sebuah syarikat gergasi yang beroperasi dari utara ke selatan,”katanya lagi.

 

Seorang pelajar yang hanya ingin dikenali sebagai Loh, 22, berkata beliau sering mempunyai kesukaran untuk melayari atau log masuk ke dalam laman web KTMB untuk menempah e-Tiket.