CAMERON HIGHLANDS: Isu pencerobohan tanah kerajaan negeri dan hutan simpan di penempatan Orang Asli Pos Terisu, di sini yang dikatakan berulang mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam lawatan kerja seharinya pada Khamis.

Timbalan Perdana Menteri meluangkan masa kira-kira 30 minit melihat sendiri keadaan di Cameron Highlands, khususnya penerokaan tanah tanpa kawalan dan pembinaan struktur haram di tanah dan sungai rizab.

Beliau diberi taklimat pemandangan udara kawasan-kawasan yang diceroboh secara haram, cerun risiko dan tapak penerokaan semula dan pencerobohan rizab sungai oleh Pengarah Perhutanan Pahang, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin dan Penolong Pengarah Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Yamin Hafiz.

Taklimat antara lain memberi penerangan mengenai aktiviti penerokaan tanah secara haram dan tanpa kawalan mengundang risiko tinggi berlakunya tanah runtuh yang dilakukan oleh pihak luar lebih lima tahun lalu di kawasan 64.7 hektar tanah rizab penempatan Orang Asli di Pos Terisu.

Tinjauan mendapati terdapat dua kawasan bukit yang telah dimajukan untuk tujuan pertanian sehingga berlaku hakisan tanah di lereng-lereng bukit.

Rombongan Dr Wan Azizah mengambil masa 45 minit perjalanan dari Tanah Rata untuk ke lokasi berkenaan yang melalui lereng-lereng bukit.

Selepas melihat kesan pencerobohan tanah, Dr Wan Azizah kemudiannya menghadiri perjumpaan bersama enam persatuan pekebun Cameron Highlands untuk mendengar masalah mereka.

Lawatan kerja sehari Timbalan Perdana Menteri ke Cameron Highlands diakhiri dengan beramah mesra bersama penduduk Orang Asli Sg Ruil.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy.