BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengundi di Madrasah Manbail Ulum Sungai Nipah Darat, berhampiran kediamannya di Bagan Datuk, di sini, hari ini.

Beliau yang tiba di pusat mengundi kira-kira jam 8.01 pagi diiringi isteri, Datin Seri Hamidah Khamis dan anak sulongnya, Datuk Nurul Hidayah serta calon Dewan Undangan Negeri Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya.

Selepas mengundi, kira-kira lima minit kemudian, Timbalan Perdana Menteri dan isteri bersalaman dengan pengundi yang sedang beratur.

Ketika ditemui pemberita, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, sejak semalam, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan, tiada insiden yang tidak diingini berlaku.

“Dan pada kali ini ketika kempen berjalan iaitu kempen pra pengundian pada hari ini, hanya beberapa laporan polis sahaja telah dibuat dan kita harap hari ini tidak ada sebarang laporan polis yang akan dibuat dan saya harapkan hari ini incident free.

“Pihak polis juga akan terus bertugas pada malam ini di setiap ibu negeri dan juga di ibu negara Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi upacara mengangkat sumpah jika diperlukan dan situasinya mendesak,” katanya

Ahmad Zahid berkata, pihak polis juga akan terus memantau lokasi yang telah ditugaskan di samping mengawal lalulintas dengan kerjasama anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Mengenai proses kempen yang berjalan sejak 11 hari lalu, beliau berkata, tidak ada sebarang insiden yang tidak diingini.

Sambil menyifatkannya lebih baik daripada ketika pilihan raya umum lalu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, termasuk pembangkang yang telah memberikan kerjasama.

BERITA BERKENAANDr Zambry dan keluarga mengundi