KANGAR : Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Perlis, Yussainie Yahya yang dilaporkan rebah semalam, ketika mendapatkan rawatan susulan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, telah sedarkan diri dan berada dalam keadaan stabil.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli dalam satu kenyataan hari ini berkata Yussainie, 40, kini diletakkan di bawah pemantauan doktor di HTF dan hanya ahli keluarga terdekat dibenarkan melawat.

Mohd Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung keadaan kesihatan Yussainie.

Selain itu, Badan Perhubungan PAS Perlis turut merayu orang ramai untuk tidak melawat timbalan pesuruhjaya 1 PAS itu sebagai menghormati permintaan ahli keluarganya Yussainie dan membolehkan beliau mendapatkan rehat secukupnya.

Sehubungan itu, orang ramai diminta untuk mendoakan agar Yussainie segera pulih.

Sebelum ini, Shukri pernah dikejarkan ke HTF dan Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan ditempatkan di Unit Rawatan Koronori (CCU) berikutan beliau rebah ketika menyampaikan ucapan pada Ceramah Muafakat Perdana Nasional di Dewan 2020, Kangar pada September tahun lalu.– BERNAMA