IPOH 3 Nov. – Timbalan Presi­den Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (Mapim), Datuk Ayub Mohamed maut dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta di Jalan Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

Ayub, 57, yang juga Pengerusi Mapim negeri, meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang penumpang lelaki berusia 25 tahun tidak cedera.

Difahamkan ketika kejadian, Ayub yang merupakan penyelaras Rumah Ngaji Perak memandu kereta Toyota Vios dalam perjalanan dari Teluk Intan ke Ipoh untuk menghadiri mesyuarat bersama Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, kemalangan pada pukul 7.07 pagi itu turut menyebabkan pemandu kereta Perodua Kancil berusia 49 tahun mengalami kece­deraan.

Katanya, ketika kejadian, kereta yang dipandu mangsa dari arah Sungai Siput ke Ipoh melalui Jalan Sultan Azlan Shah manakala kereta Perodua Kancil itu pula dari arah Jalan Merpati menghala Persiaran Medan Ipoh.

“Kereta mangsa dipercayai melanggar lampu isyarat dan menyebabkan kereta Perodua Kancil itu tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan tersebut.

“Akibat kemalangan itu, mangsa yang parah maut di tempat kejadian manakala pemandu Perodua Kancil pula cedera ringan,” katanya.

Mohd. Ali berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 –  utusan online