KUCHING: Adun Mambong, Jerip Susil hari ini mengumumkan keputusan untuk meletak jawatan timbalan presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), dan meninggalkan parti itu berkuatkuasa serta merta.

Keputusan itu dibuat selepas beliau membincangkan perkara itu dengan orang ramai, dan juga penyokongnya di DUN Mambong.

“Ia adalah keputusan yang amat memeritkan bagi saya…Keputusan ini juga adalah demi kepentingan perpaduan kaum Bidayuh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

“Kini saya boleh menyumbang ke arah usaha membina dan mengukuhkan perpaduan kaum Bidayuh dalam kerajaan negeri…saya menyokong penuh ketua menteri untuk terus memimpin Sarawak,” tambahnya.

Jerip, yang merupakan menteri muda pengangkutan dalam kerajaan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS), dilihat mengambil keputusan itu semasa khabar angin bertiup kencang sejak kebelakangan ini, mengenai beberapa pemimpin akan meninggalkan parti berkenaan, yang sebelum ini dikenali sebagai Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Beliau dan Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh, iaitu menteri kewangan II, perdagangan antarabangsa, dan e-dagang Sarawak, merupakan anggota Kabinet negeri, walaupun PSB bukanlah anggota GPS.

Jerip berkata keputusan itu perlu dilakukan kerana beliau sedar dan yakin hanya GPS bawah kepimpinan Abang Johari Openg memiliki wawasan, komitmen, dan program-program bagi membawa kemajuan yang lebih pesat kepada kawasan pedalaman.

Katanya, beliau yakin ramai yang akan mendapat banyak manfaat menerusi Program Transformasi Luar Bandar yang dilaksanakan kerajaan negeri dalam usaha membawa kemudahan prasarana dan meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.

“Oleh itu kita semua perlu menunjukkan perpaduan yang kukuh dalam menghadapi pelbagai cabaran yang datang, dan juga dalam memberikan sokongan padu kepada Abang Johari. Ketua menteri kita amat tegas dan komited dalam melindungi hak dan kepentingan Sarawak,” katanya.

Selain Jerip, 5 lagi wakil rakyat PSB adalah daripad Wong (Bawang Assan), Ranum Mina (Opar), Johnical Rayong Ngipa (Engkilili), Tiong Thai King (Dudong) dan Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat.

 

-FMT