SHAH ALAM: Orang ramai meminta agar kerajaan mempertimbangkan semula waktu operasi baharu Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara yang akan ditutup lebih awal berbanding sekarang bermula 1 Januari tahun depan.

Berdasarkan surat edaran yang ditandatangani Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir, bertarikh 12 Disember 2018, operasi UTC akan bermula dari jam 8 pagi hingga 7 petang.

Ketika ini UTC seluruh negara beroperasi bermula jam 8.30 pagi hingga 10 malam.

Tinjaun NSTP di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Selangor di Anggerik Mall, malam tadi, orang ramai masih lagi mendapatkan perkhidmatan yang ada di situ walaupun hampir jam 9 malam.

Malah mereka juga tidak tahu operasi baharu itu serta tidak setuju dan berharap kerajaan mempertimbangkan kembali susulan ia banyak memberi kemudahan kepada orang ramai.

Bagi kakitangan swasta yang tinggal di Bukit Naga di sini, Abdul Alif Mohd Saad, 21, berkata, beliau meminta agar kerajaan mempertimbangkan semula dengan keputusan tersebut untuk menutup lebih awal UTC di seluruh negara.

Beliau yang datang ke situ untuk mendapatkan perkhidmatan tampalan gigi di klinik kesihatan di situ, berkata, ia susulan waktu baharu itu tidak sesuai bagi pekerja yang bekerja waktu pejabat sepertinya.

“Jika waktu habis berkerja 6 petang belum tentu boleh keluar tepat pada masanya. Waktu malam adalah tempoh untuk kami mendapatkan perkhidmatan di sini. Keluar pejabat bukan boleh sesuka hati.

“Kadang-kadang kita balik menghadap kesesakan lalu lintas. Jika tutup jam 7 petang sudah tentu mereka yang bekerja waktu pejabat tidak sempat untuk mendapatkan perkhidmatan di sini.

“Namun, jika ini adalah satu inisiatif mengurangkan kos, kita terpaksa akur dengan keputusan itu,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Badri memaklumkan pengurangan waktu operasi selama tiga jam dibuat atas dua faktor iaitu kehadiran pelanggan hanya 11 peratus selepas jam 7 petang dan bagi memastikan perbelanjaan kerajaan cekap bagi UTC iaitu menyampaikan perkhidmatan tanpa pembaziran waktu serta tenaga.

Kerajaan berharap melalui pengurangan waktu operasi UTC itu, isu kekangan perjawatan dan peruntukan belanja operasi khususnya pembayaran bil utiliti dan bayaran kerja lebih masa dapat dikurangkan.

Seorang lagi kakitangan swasta yang tinggal di Klang, Badrulzaman Abdul Jalil, 25, yang datang bersama ibunya, Roslinda Yusuf, 48, untuk urusan pasport di Jabatan Imigresen bagi mengerjakan umrah tahun depan berkata, waktu operasi sedia ada lebih praktikal berbanding yang baharu.

“Saya hanya boleh datang ke sini untuk bawa ibu selepas balik dari kerja. Jika tidak tiada siapa yang boleh bawa beliau ke sini.

“Saya berkerja mengikut waktu pejabat. Belum tentu sempat untuk saya pulang ke rumah dan mengambil ibu dan sampai ke UTC sebelum jam 7 malam ditambah dengan kesesakan jalan raya apabila waktu petang,” katanya.

Sementara itu, penduduk Seksyen 13 di sini yang juga kakitangan swasta, Abdul Aziz Mohd, 59, berkata, beliau tidak setuju dengan waktu operasi baharu itu.

“Tidak praktikal. Kita pulang dari tempat kerja sudah pun lewat. Sekurang-kurang waktu sekarang ini, orang ramai boleh pulang ke rumah dari tempat kerja dahulu untuk mandi dan solat maghrib sebelum datang ke sini,” katanya – berita harian