IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, segala tindak tanduk pemimpin pembangkang, khsusunya daripada DAP adalah berdasarkan kepada 3B iaitu benci, bohong dan balun.

Menurut beliau, pemimpin parti itu akan berterusan melakukan pembohongan dengan meletakkan negeri Perak sebagai sebuah negeri yang teruk.

Beliau memberi contoh, pembohongan mengenai pembentangan akaun Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang di dalam sidang DUN, sedangkan negeri itu sebenarnya tidak berbuat demikian.

Di samping itu, kata beliau, Selangor dan semua negeri yang mempunyai Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), juga tidak membentangkan akaun mereka di dalam sidang DUN masing-masing.

Bagaimanapun, kata beliau, itu tidak bermakna mereka tidak membuat akaun.

“Tetapi oleh kerana pembohongan ini dilakukan secara berterusan dan meletakkan negeri Perak negeri yang teruk dengan harapan ada orang percaya.

“Bagi dia kalau dapat lebih kurang lima peratus orang mula goyang, itu merupakan kejayaan dia, kita tahu dia punya taktik dan strategi, dia tidak mempedulikan soal benar atau tidak apa yang disebutkan,” ujarnya dalam sidang media selepas Sidang DUN di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Dr Zambry berkata, kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang telah bersetuju supaya sidang Dewan tidak dicemari dengan kehadiran orang luar yang tidak berkenaan, seperti yang dilakukan ketua pembangkang, Datuk Seri Nizar Jamaludin.

Menurutnya, beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Datuk Ngeh Koo Ham (DAP – Sitiawan) dan Nga Kor Ming (DAP – Kepayang) bahawa ini adalah persidangan untuk semua ahli-ahli dewan menggunakan kesempatan untuk berbahas dan membuat kenyataan akhbar.

“Ini bukanlah tempat untuk kita membawa sesiapa sahaja yang mungkin boleh diadakan pada kesempatan yang lain, kita tidak menghalang dia nak jumpa sesiapapun tetapi sewaktu sidang dewan, biarlah kita beri tumpuan kepada sidang dewan.

“Tetapi oleh kerana mereka terlalu menagih isu, sehingga tidak dapat membezakan di antara sidang dewan dengan bukan sidang dewan,” ujar beliau sambil berharap semua wakil rakyat dapat menjaga keluruhan Dewan.