LUBUK MERBAU: Tindakan Amerika Syarikat (AS) menggantung kebenaran masuk warga dari tujuh negara majoriti muslim dan pelarian akan menguntungkan sektor pelancongan Malaysia.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, beliau yakin tindakan yang telah mengundang rasa tidak puas hati pelbagai pihak itu akan membuatkan ramai pelancong, khususnya beragama Islam, memilih untuk melancong ke negara-negara Asia termasuk Malaysia.

“Apa yang berlaku itu sebenarnya untung kepada kita sebab kalau dia tidak membenarkan orang-orang itu masuk, mungkin ini telah mendatangkan perasaan tidak puas hati, mereka sudah tentu akan ke Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kelab Usahawanita Unggul Parlimen Padang Renggas di sini pada Ahad.

Beliau juga yakin sekatan itu langsung tidak akan memberi sebarang kesan kepada pelancongan negara.

“Itu hak A.S nak halang sesiapa sahaja untuk memasuki negaranya kerana mereka mahu mengutamakan rakyat mereka terlebih dahulu.

“Apa yang A.S buat itu menunjukkan selama ini apa yang Malaysia buat semuanya betul iaitu mengutamakan rakyatnya terlebih daulu, jadi dia (Presiden A.S Donald Trump) ikut kita lah,” ulas beliau.

Namun, menurut beliau walaupun mengalu-alukan kehadiran pelancong dari serata dunia ekoran sekatan tersebut, kerajaan Malaysia tetap akan mengambil langkah berwaspada menyaring mereka.

Sementara itu, beliau memberitau Malaysia telah meraih pendapatan sejumlah RM92 bilion pada 2016 hasil daripada perbelanjaan oleh pelancong asing di negara ini.

“Walaupun dari segi fizikal kehadiran itu orang datang hanya ada kenaikkan 4 peratus sahaja tapi yang penting kenaikkan pendapatan kita ialah 10 peratus berbanding 2016.

“Ini dapat kita lakukan walaupun kerajaan telah memotong bajet kita,” katanya.