IPOH: Tindakan berani seorang kanak-kanak tujuh tahun meluru keluar apabila melihat kepulan asap, telah menyelamatkannya dari kebakaran rumah di Kampung Tawas, Ipoh, Perak pada Selasa.

Ketika kejadian, kanak-kanak lelaki berusia itu tinggal seorang diri di rumah tersebut manakala kedua ibu bapanya dan dua keluarga lain yang turut menyewa rumah tersebut, keluar bekerja.

Ketua Zon 1 Perak, Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Mohd. Khairul Jamil berkata, seramai 29 anggota bomba dihantar ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.56 tengah hari.

“Apabila kita sampai, kebakaran telah merebak dalam 70 peratus yang mana kita menghadapi beberapa kesukaran diantaranya adalah litar pintas yang masih lagi mengalir di dalam kawasan perumahan ini.

“Jadi kita telah menghubungi TNB untuk mempercepatkan lagi pemotongan letrik bagi tujuan pemadaman.

“Pada masa yang sama kita cuba mengawal api daripada merebak melibatkan rumah bersebelahan dan kita berjaya kawal lebih kurang dalam 30 minit sebab ia melibatkan material kayu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohd Khairul berkata, pemeriksaan fizikal ke atas kanak-kanak lelaki itu mendapati tiada kecederaan dialami namun masih trauma.

Menurutnya, kanak-kanak tersebut kemudiannya diserahkan kepada ibu bapanya untuk tindakan lanjut.

Beliau memberitahu, operasi pemadaman melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh dan Meru Raya dengan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bercham, Pasir Pinji dan Pekan Baru.