Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Tindakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak menetapkan piawaian khusus bagi setiap pusat tahfiz di negeri ini adalah atas landasan aspek keselamatan dan bukannya berbentuk tindakan semata-mata, kata Menteri Besar Perak.

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, tindakan itu bukanlah sesuatu yang luar biasa malah ianya menepati arahan kerajaan persekutuan untuk mengambil serius perihal keselamatan setiap pusat pendidikan agama itu.

Menurut Dr Zambry, tindakan JBPM Perak melaksanakan semakan di kesemua pusat tahfiz itu bukanlah untuk mendenda sebaliknya memastikan piawaian keselamatan yang telah ditetapkan dipatuhi semua pihak.

“Tindakan tersebut adalah wajib, mereka perlu mematuhi apa yang telah diarahkan oleh kerajaan iaitu membuat pemeriksaan terlebih dahulu berkenaan tahap keselamatan di kawasan berkenaan.

“Kebiasaannya pihak Bomba akan duduk berbincang dengan mereka (pengusaha tahfiz) bagi mengambil langkah-langkah terbaik untuk mematuhi kriteria keselamatan,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco di Blik Mesyuarat, Bangunan SUK pada petang Rabu.

Dr Zambry menegaskan bahawa tindakan terperinci daripada Jabatan Bomba itu adalah untuk mengingatkan para pengusaha tahfiz yang mungkin tidak menyedari kepentingan piawaian yang ditetapkan itu.

“Kita tidak boleh melihat kepada sudut negatif perkara ini, kerana saya yakin ianya lebih kepada proses pendekatan pihak Bomba kepada pihak terlibat,”ujarnya lagi.

Semalam (Selasa), Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak mengesahkan sebanyak 50 peratus daripada 146 pusat tahfiz yang diperiksa tidak mematuhi kehendak pendawaian dan laluan keluar masuk.

Menurut Pengarah JBPM Perak, Datuk Yahaya Madis, daripada 146 yang diperiksa, 136 masih beroperasi manakala selebihnya telah ditutup.

Dalam pada itu, Yahaya berkata, pada tahun ini jabatan itu turut memberi perhatian dari segi keselamatan kebakaran ke atas pusat jagaan orang tua, rumah ibadah, asrama anak-anak yatim dan persendirian.