LENGGONG: Kementerian Kesihatan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana syarikat yang didapati menjual stevia palsu di pasaran.

Menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, pihaknya melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) ketika ini sedang melakukan pemantaun besar-besaran terhadap syarikat-syarikat pengeluar stevia seluruh negara bagi memastikan ianya tulen.

Menurut beliau, terbaharu BKKM telah berjaya mengesan sebuah syarikat yang menjual produk stevia dengan menggunakan manisan palsu di pasaran.

“Saya sudah arahkan bahagian keselamatan makanan untuk menarik semula produk-produk mereka daripada pasaran.

“Langkah kedua pula kita akan ambil tindakan makhamah mengikut Akta Makanan 1983 kerana melakukan pelabelan palsu yang mana boleh dikenakan denda atau pun penjara.

“Biarkan tindakan ini menjadi satu amaran kepada syarikat-syarikat yang lain,” katanya pada sidang mediaselepas hadir pada majlis perasmian Klinik Kesihatan Lenggong yang dirasmikan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Khamis.

Tambah beliau kementeriannya setakat ini telah melakukan pemeriksaan ke atas 15 syarikat yang menjual stevia seluruh negara.