TAIPING: Tindakan penasihat DAP, Lim Kit Siang menarik diri daripada berdebat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat tepat dalam mengelak sebarang konflik terutamanya sentimen perkauman dan agama.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, berkata keputusan yang dibuat Lim itu juga dapat mengelak Anggota Parlimen Iskandar Puteri itu terperangkap dengan Najib.

“Tujuan perdebatan sebagai usaha untuk mencari publisiti murahan dan kita rasa ia tidak perlu membazir masa untuk melayan beliau yang kini menghadapi pelbagai tuduhan di mahkamah menyalahgunakan wang rakyat,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Nga, yang juga Anggota Parlimen Teluk Intan, mengulas mengenai Najib, yang juga Anggota Parlimen Pekan pada Selasa lepas, menyahut cabaran Lim untuk berdebat dan mencadangkan supaya program itu diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dan disiarkan secara langsung.

Menurut Nga, perdebatan itu juga tidak memberi manfaat kepada rakyat dan sewajarnya Lim menumpukan fokusnya membawa reformasi kepada institusi dan sistem negara.

Bagaimanapun, Nga yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata, jika Najib tetap mahu berdebat, Parlimen adalah gelanggang terbaik untuk wakil rakyat Pekan itu.

“Kita bukan nak sekat suara Najib, beliau boleh pergi mahkamah berpeluang untuk membela diri dan saya akan beri beliau ruang dan peluang secukupnya untuk beliau berdebat,” katanya. – BERNAMA