LUMUT – Tindakan pantas dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah berjaya menyelamatkan nyawa dua orang awam yang jatuh laut apabila bot yang dinaiki terbalik dipercayai akibat dipukul ombak sekitar jam 8 malam tadi.

Kejadian itu kemudiannya dilaporkan ke Pusat Operasi Armada Barat setelah petugas titian kapal melihat orang awam terjatuh ke dalam laut di Selat Dinding, berhampiran Jeti Dalam, Tambatan Pangkalan Lumut.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perhubungan Strategik, Markas Pemerintahan Armada Barat, Pangkalan TLDM Lumut hari ini, dua anggotanya, Laskar Kanan I Weltron Duanis dari KD MAHAWANGSA dan Laskar Kanan Jamalul Hayat A. Baser dari KD KASTURI yang ketika itu berada di kapal dan jeti, bergegas terjun ke laut untuk menyelamatkan mangsa.

Dalam masa sama, TLDM, melalui Pusat Operasi Armada Barat telah mengarahkan bot bantuan miliknya bergerak serta merta ke tempat kejadian bagi membantu operasi menyelamat mangsa.

“Kru bot tiba di tempat kejadian dan seterusnya membantu perenang menaikkan mangsa ke bot bantuan. Keempat-empat mereka selamat dibawa pulang ke Himpitan 11 pada jam 8.20 malam,” kata kenyataan itu.

Mangsa yang jatuh laut dikenali sebagai Mohd Izman Ibrahim, 35 dan rakannya, Muhammad Zulhusni Mohamad, 25, berada dalam keadaan stabil ketika diselamatkan dan dibawa ke Hospital Angkatan Tentera Lumut bagi rawatan lanjut.

Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Pahlawan Mohamad Adib Abdul Samad telah menyampaikan sijil Penghargaan kepada keenam-enam anggota yang menyumbang ke arah kejayaan operasi menyelamat mangsa jatuh laut itu.

Beliau turut menyatakan rasa bangga dan berharap agar sikap keberanian itu dapat dijadikan contoh dan pendorong semangat kepada semua warga ‘Navy People’ untuk sentiasa proaktif dan fokus dalam melaksanakan tugasan dan amanah yang dipikul.