Tumpahan minyak akibat kemalangan lori tangki membawa muatan 10,000 liter diesel ‎yang terbalik dekat Menora 10 Disember lepas yang boleh menyebabkan pencemaran serius pada Sungai Perak berjaya dicegah berikutan tindakan pantas pihak berwajib.

‎Ini berikutan operasi pembersihan cekap yang dilaksanakan Pasukan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Perak bersama-sama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Plus Berhad selama lima hari.
berjaya menghalang berlakunya pencemaran air di Sungai Perak selepas lima hari beroperasi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri, Datuk Yahaya Madis berkata, dengan kerjasama bersepadu pihak terlibat ‎tumpahan hampir 10,000 liter minyak diesel akibat kemalangan lori tangki di Kilometer 256.6, Lebuh Raya Utara- Selatan berjaya dihalang.

“Seramai 170 anggota berhempas pulas dalam operasi selama lima hari itu bagi mengesan sisa minyak diesel berkenaan mengalir ke Sungai Akar dan Sungai Menora sepanjang 2.4 kilometer.

“Walaupun kesan minyak pada jalan raya berjaya dibersihkan tetapi ia mengalir memasuki tanah dan mengancam kawasan tadahan air di Sungai Menora,” katanya dalam sidang media sempena Perhimpunan Bulanan Disember di Meru, Ipoh pada Selasa.

 


Yahaya berkata, kaedah ‘oil bomb’ telah digunakan untuk menghalang kesan minyak merebak lebih jauh seterusnya menghalang ia memasuki Sungai Perak.

“Operasi berkenaan ditangguhkan selepas minyak itu berjaya dibersihkan dan lebih 10 tan tanah dengan kesan minyak yang digunakan untuk pembersihan telah dihantar ke Kualiti Alam Sdn Bhd untuk dilupuskan.

“Pemantauan masih dijalankan. Susulan insiden ini, pihak Bomba ingin menasihatkan kenderaan komersial yang membawa bahan berbahaya diminta lebih berhati-hati pada musim cuti ini,” katanya.