LABUAN: Tindakan pantas seorang pegawai bomba memberi rawatan awal berjaya menyelamatkan nyawa seorang lelaki dalam kemalangan di Jalan Patau-Patau, di sini, semalam.

Penolong Penguasa Bomba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan, Pain Muzal, berkata dalam kejadian jam 5.20 petang itu, beliau dalam perjalanan pulang dari tempat kerja ke Kampung Sungai Keling.

Katanya, kemalangan berlaku apabila motosikal merempuh belakang sebuah kenderaan lain sehingga menyebabkan penunggang terpelanting ke tengah jalan raya.

“Tanpa membuang masa, saya meminta bantuan orang ramai untuk membuka topi keledar yang dipakai mangsa dan membaringkannya sebelum melakukan teknik ‘Head Tilt Chin Lift’ bagi membuka saluran pernafasan mangsa.

“Saya terus membuka mulut mangsa sebelum memasukkan jari menggunakan teknik ‘Finger Swept’ untuk membetulkan semula kedudukan lidah yang menutup saluran pernafasan mangsa,” katanya ketika menceritakan detik beliau membantu penunggang motosikal terbabit.

Pain berkata, beliau berbuat demikian kerana denyutan nadi pada pergelangan tangan mangsa lemah dan tidak sedarkan diri.

Katanya, beliau sedar mangsa boleh diselamatkan tetapi kemungkinan besar saluran pernafasannya tersumbat.

Difahamkan, ketika itu, orang ramai sudah menghubungi ambulans namun bantuan belum tiba.

Katanya, selepas 20 saat memberikan bantuan rawatan awal, mangsa mula memberi tindak balas sebelum mengubah kedudukan mangsa dalam posisi pemulihan.

“Mujur saya tahu cara memberi bantuan rawatan awal kerana mangsa dipercayai tidak mendapat bekalan oksigen kira-kira empat minit. Jika bantuan lewat, mangsa mungkin boleh meninggal dunia.

“Beberapa minit selepas diberi rawatan awal, pihak ambulans tiba sebelum mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya yang bertugas di Unit Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) JBPM Labuan – berita harian