IPOH – Tindakan pantas seorang warden berjaya menyelamatkan 19 penghuni asrama Akademi Ikatan Muslimin daripada menjadi mangsa apabila sebuah bilik tingkat atas blok pentadbiran akademi tersebut di Jalan Datuk Seri Saari di sini hangus dalam kejadian kebakaran di sekolah agama tersebut lewat petang tadi.

Ahmad Amin Yahaya, 20, yang baru sahaja bekerja sebagai guru sekolah rendah di akademi terbabit berkata beliau sedang bertugas sebelum terlihat api dari atas bangunan.

“Saya dan dua lagi kawan sempat lari menyelamatkan diri dan segera menghubungi bomba. Alhamdulillah, kami tidak apa-apa dan barang-barang peribadi masih selamat,” katanya.

Kejadian itu melibatkan bilik simpanan barang yang menempatkan tilam, almari dan beberapa barangan milik asrama.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh, Mohd. Subri Hussain berkata Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.11 petang.

“Sebaik tiba, didapati bangunan sekolah agama 2 tingkat jenis kelas A musnah terbakar sebanyak 20 peratus di bahagian bilik yang berkeluasan 15 kaki x 20 kaki.

“Api yang marak itu berjaya dipadamkan dengan menggunakan dua aliran 100 kaki dua pancutan dari jentera fire rescue tender (FRT) Ipoh 1 dan satu aliran 100 kaki satu pancutan dari jentera Ipoh 2 bersumberkan air dari jentera ‘water tanker’ sehingga api dipadamkan sepenuhnya.

“Setakat ini, semua mangsa selamat tanpa sebarang kecederaan,” ujar beliau ketika ditemui oleh Suara Perak.

Bangunan yang beroperasi sejak 2012 itu menempatkan asrama perempuan bagi pelajar Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan bangunan pentadbiran.

Turut berada di bangunan sama ketika kejadian adalah dua warden wanita, seorang kakitangan dan seorang pelajar lelaki.

Pihak Bomba juga telah menagarahkan agar pengurusan dan pelajar sekolah tersebut mengosongkan premis untuk mengelakkan gangguan kepada siasatan punca kebakaran tersebut.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, bangunan berkenaan telah menjalani pemeriksaan menghapus bahaya kebakaran pada November tahun lalu.

Katanya, teguran dalam beberapa aspek antaranya penggunaan tingkap jenis nako serta akses jalan keluar yang terhalang telahpun diambil perhatian oleh pengurusan sekolah.

“Mereka telahpun melakukan penambahbaikan terhadap bangunan hasil daripada teguran dibuat, malah kita juga telah mengadakan sesi ceramah dan latihan kebakaran.

“Dengan ilmu yang ada pada pelajar dan kakitangan, sedikit sebanyak membantu mereka berdepan bahaya dan mencegah kejadian lebih buruk berlaku,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar, Zolkifli Ismail berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama pengurusan untuk mendapatkan penempatan sementara bagi pelajar terlibat.

“Kita akan fikirkan secara bersama agar sesi pembelajaran mereka tidak terganggu dengan kejadian ini,” katanya.