BAGAN DATUK – Tindakan UMNO memecat 16 ahlinya dari lima buah negeri yang memfailkan semakan kehakiman bagi membubarkan UMNO adalah berlandaskan undang-undang dan perlembagaan parti, kata Timbalan perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, di bawah perlembagaan parti, mana-mana ahli dan pemimpin UMNO tidak boleh boleh membawa sebarang isu parti ke mahkamah, justeru tindakan yang dibuat oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk memecat kesemua mereka berkuat kuasa serta merta merupakan suatu tindakan tepat.

“Sedangkan di dalam perlembagaan UMNO ahli-ahli dan mana-mana pemimpin UMNO tidak boleh membawa sebarang isu UMNO ke mahkamah.

“Jika isu ini dibawa, secara automatik orang itu boleh dipecat dari menganggotai UMNO,” ujar beliau kepada sidang media selepas merasmikan Bangunan Giatmara Bagan Datuk di Jalan Besar, Hutan Melintang, hari ini.

Enam belas orang ahli tersebut telah mengemukakan semakan mahkamah untuk membawa ke muka pengadilan kononnya UMNO adalah pertubuhan haram berikutan daripada keputusan Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (RoS) yang telah mengeluarkan sura penangguhan pemilihan pucuk pimpinan UMNO dari tahun lalu hingga April 2019.

Pada masa sama, Ahmad Zahid beranggapan isu mengenai pengumuman calon dan watikah yang akan dikeluarkan atas nama Barisan Nasional (BN), adalah sah mengikut perundangan.

“Kita yakin tidak seharusnya ahli-ahli UMNO digunakan oleh mana-mana tokoh pembangkang yang merupakan sebuah parti tidak didaftarkan kerana tidak mengikut perlembagaan sendiri. Mereka terus mengadakan mesyuarat agung tanpa terlebih dahulu melakukan mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian.

“Maka, bagi membalas tindakan penggantungan sementara oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) itulah agaknya, mereka telah menggunakan 16 orang UMNO ini untuk membawa semakan kehakiman untuk membatalkan pendaftaran UMNO,” katanya.

BERITA BERKENAAN : Kementerian Pelancongan Puji Fokus Kebersihan Dalam Pentadbiran Dr Zambry