IPOH: Armada Bersatu Perak mengecam tindakan lima individu yang memeriksa kereta peronda polis (MPV) pada hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada Sabtu.

Ketuanya, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata, menjadi pemimpin atau penyokong parti pemerintah bukanlah tiket kepada mana-mana pihak untuk bertindak kurang ajar dan tidak menghormati pihak berkuasa di negara ini.

Menurut beliau, semua pihak sepatutnya menghormati tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan pada pihak PDRM untuk menjaga keselamatan, sama ada bagi pihak parti pemerintah mahupun parti pembangkang.

“Kita perlu akur peranan pihak tersebut dalam memastikan segala urusan pilihanraya kecil ini berjalan lancar sepanjang tempoh kempen berlangsung sehinggalah hari mengundi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad.

Sejak Sabtu, tular di media sosial lima anggota parti memeriksa MPV polis

Katanya, Armada Bersatu Perak sangat menghargai pihak polis yang telah menjalankan amanah mereka dengan profesional dan penuh dedikasi.

Menurutnya, sepanjang enam PRK selepas Pilihanraya Umum (PRU) ke 14, kurang berlaku insiden yang tidak diingini, melainkan kes-kes terpencil.