IPOH: Tindak-tanduk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad yang mencetuskan spekulasi berkaitan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu disifatkan sebagai taktik politik dan helah semata-mata.

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, Saarani sengaja mengada-adakan cerita untuk mengalihkan pandangan rakyat dari masalah yang wujud dalam parti UMNO itu sendiri.

“Saya menyeru kepadanya (Saarani) hentikan suspen-suspen ini… orang dah tahu pun, dia saja yang berasa cerita dia hebat, menarik dan tiada siapa nak dengar pun.

“Pergi laporkan pada SPRM dengan polis kalau dia ada bukti jenayah, ada bukti rasuah…itu saja, untuk kawan-kawan daripada Pakatan Harapan jangan pedulikan dia (Saarani), sebab dia sengaja suka ganggu dan menggeletek kita.

“Dia ada taktik sendiri yang mungkin nak menyelamatkan kawan dia yang lari ketakutan dari Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) di Perak, saya rasa ini satu ‘bom asap’ yang dibuat untuk alihkan pandangan,” katanya ketika ditemui di program perasmian Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa (PULARA) di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas desas-desus yang mengaitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP sebagai calon Menteri Besar bagi menggantikan Ahmad Faizal.

Tegas Abdul Aziz, Pakatan Harapan tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang dan elemen jenayah.

“Saya tidak takut…saya dah sebut sebelum ini bahawa undi tidak percaya itu karut dan mengarut, tak boleh nak buat dan susah dibuat.

“Saya nak tanya beliau (Saarani) berapa kali di Malaysia ini (undi tak percaya) sejak merdeka ada tak? khususnya di peringkat Persekutuan dan negeri.

“Dia sebut undi tidak percaya dan usaha nak jatuhkan Menteri Besar, ini satu benda yang bukan mudah nak ke sana ke mari berkempen nak jatuhkan orang, saya harap rakan-rakan Pakatan Harapan dan rakyat tidak termakan dengan gimik beliau,” katanya lagi.