IPOH: Susulan kejadian limpahan air di Jalan Simpang Pulai – Cameron Highland pada Rabu, tindakan segera diambil untuk membina semula tembok penghadang yang runtuh akibat kejadian itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam Dan Infrasrtuktur, Pertanian Dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamahri berkata, pembinaan itu yang melibatkan kos RM20,000 adalah langkah jangka pendek yang akan disiapkan secepat mungkin.

Menurut beliau, sebagai langkah jangka panjang, pihak konsesi melantik perunding untuk mengkaji pembinaan tembok yang lebih kukuh dengan anggaran kos RM100,000.

“Dalam masa sama, kita akan menambah ciri-ciri keselamatan seperti pemasangan papan tanda amaran dan lampu limpah,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau melawat tempat kejadian bersama-sama pihak terbabit seperti Jabatan Kerja Raya, Unit Cerun Kementerian Kerja Raya dan pihak konsensi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang yang tular di media sosial semalam, limpahan air dari atas bukit sehingga melimpah ke atas jalan di laluan FT 185, Jalan Simpang Pulai – Cameron Highland, telah menyebabkan kesesakan lalulintas.

Bagaimana tiada sebarang kemalangan yang berlaku ekoran limpahan air kira-kira sejam itu.

Abdul Yunus berkata, kerja-kerja mengalihkan tembok batu penghadang yang pecah telah dijalankan kira-kira jam 3.30 petang dan siap sepenuhnya pada 5 petang.

Beliau menjelaskan memang terdapat air terjun di kawasan itu dan hujan lebat yang berlaku menyebabkan berlaku kepala air yang deras sehingga memecahkan tempoh penghadang.

Abdul Yunus berkata, pihak berkenaan, khususnya pakar dari Unit Cerun juga akan mengkaji langkah jangka panjang yang boleh untuk mengelakkan kejadian yang sama berulang.

Beliau menambah, antara cadangan itu, kemungkinan untuk memperlahankan aliran air sekiranya hujan lebat.

“Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan JKR agar projek jangka panjang dapat disiapkan segera kerana kawasan itu merupakan tempat rehat yang menjadi tumpuan ramai.

“Ia melibatkan keselamatan orang ramai, termasuk para pelancong yang berulang-alik menggunakan jalan ini,” ujarnya.