ALOR PONGSU – Kerajaan negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri Perak tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tatatertib yang tegas kepada mana-mana guru dikenal pasti ‘gila berpolitik’ sehingga mengabaikan tugasan hakiki.

Exco Pendidikannya, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid meminta mana-mana guru aktif mengutuk kerajaan dan menyalahgunakan platform jawatan untuk berkempen di pentas pembangkang supaya meletak jawatan dianggap wajar dan perlu diberi perhatian.

 Menurutnya, sebagai pendidik anak bangsa, guru dinasihatkan supaya mengelak daripada terlibat secara langsung dalam politik dan saranan Menteri Pendidikan itu simbolik kepada perhatian Kementerian Pendidikan itu sendiri.
“Jangan jadikan sekolah sebagai medan mengutuk kerajaan dan sebagai penjawat awam, guru ada tanggungjawab untuk mematuhi peraturan ditetapkan kerajaan memerintah hari ini (government of the day).

“Sekiranya ada guru betul-betul berminat terlibat politik secara langsung, mereka kena minta kebenaran daripada Pejabat Pendidikan Daerah(PPD) untuk melibatkan diri dan tidak boleh sewenang-wenangnya naik pentas politik.

“Kalau ada segelintir guru yang terlalu ‘gila berpolitik’ sehingga mengabaikan kerja, golongan ini wajar meletakkan jawatan bagi mengelakkan profesion perguruan tercemar dengan tingkah laku mereka,”katanya sewaktu mengadakan kunjungan mesra melawat projek penternakan udang kara diselia Program Pendidikan Khas Integrasi(PPKI) Sekolah Kebangsaan(SK) Alor Pongsu di perkarangan sekolah itu hari ini.

Turut hadir Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Mohd Rosli Ahmad, Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas, Aznan Alias dan Pegawai Pendidikan Daerah Kerian, Abd Wahid Ramli.

-SinarHarian