IPOH: Kerajaan negeri Perak memberi amaran tidak akan bertolak ansur dengan pengusaha ladang ternakan ayam haram di seluruh negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika memberi amaran itu menegaskan bahawa pihaknya akan bertindak terhadap ladang ternakan yang didapati mendatangkan masalah besar kepada masyarakat sekeliling.

Menurut beliau, kebanyakan pengusaha itu menggunakan taktik lapuk iaitu membina dahulu ladang, kemudian baru memohon kelulusan untuk menukar syarat kawasan berkenaan.

“Saya ingin tegaskan, kerajaan negeri akan bertindak terhadap mereka yang membina terlebih dahulu ladang ternakan, kemudian baru memohon dan akibat daripada pembinaan itu telah mendatangkan masalah kepada penduduk di sekelilingnya,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di sini, hari ini.

Dr Zambry berkata, terdapat kes yang telah diambil tindakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti meminta mereka merobohkan semula struktur yang telah dibina.

“Ada permohonan-permohonan yang menyatakan mereka telah membelanjakan peruntukan yang besar, itu bukan soal kita, itu soal mereka, siapa suruh bina tanpa meminta kebenaran terlebih dahulu.

“Kerajaan tidak akan menurut permintaan mereka kerana kita tidak boleh memenuhi keperluan daripada kesilapan yang mereka lakukan, tiba-tiba mereka minta kita meluluskannya, ia tidak adil kepada kerajaan,” ujarnya.

Menurut beliau, perkara tersebut berlaku di seluruh negeri, bukan hanya di kawasan-kawasan tertentu sahaja.

“Mereka hendak meminta supaya kita luluskan apa yang telah mereka lakukan, apa kesan yang telah mereka wujudkan kepada masyarakat sekeliling seperti berlakunya gangguan lalat.

“Ini merupakan taktik-taktik yang digunakan oleh pengusaha-pengusaha sebegini, mereka akan gunakan alasan, mereka dianggap sebagai `illegal’, mereka telah memohon berkali-kali tetapi tidak dapat.

“Ini bukan soal `legal’ atau `illegal’, permohonan membuat ladang-ladang atau reban ayam ini mesti mendapat kelulusan terlebih dahulu kerana negeri mempunyai dasar untuk memastikan kawasan-kawasan ladang atau reban ayam yang dibina itu tidak akan mencemarkan kawasan disekelilingnya,” tambah beliau.

Dr Zambry menegaskan, mana mungkin kerajaan negeri meluluskan sewenang-wenangnya permohonan mereka, walaupun tanah itu milik persendirian, tetai syarat nyatanya bukan bertujuan untuk ladang atau ternakan ayam.