LUMUT: Pengusaha pemprosesan ayam di negeri ini bakal berdepan tindakan tegas sekiranya mereka tidak mematuhi peraturan sedia ada yang ditetapkan oleh kerajaan. 

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, mereka perlu menggunakan teknologi terbaik bagi membendung masalah pencemaran alam sekitar seperti pencemaran najis ayam dan masalah lalat. 

“Kerajaan tidak akan berkompromi berhubung masalah pencemaran alam sekitar kerana ia melibatkan kepentingan rakyat,” katanya kepada pemberita di Majlis Perasmian Pecah Tanah Dindings Poultry Processing Sdn Bhd di kawasan Perindustrian Kampung Acheh dekat sini pada Jumaat.

Hadir sama Pengerusi Kumpulan Syarikat MFM Tan Sri Arshad Ayub.

Dr Zambry berkata, di dalam industri apapun, sekiranya ia tidak mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang terbaik maka semuanya akan mendatangkan masalah.

“Kalau soal SOP ini diambil kira saya yakin ianya dapat diselesaikan,” ujar beliau.