IPOH: Jabatan Kesihatan Negeri Perak akan mengambil tindakan tindakan undang-undang terhadap kontraktor pengendali makanan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Taiping.

Dalam masa sama, pihak pengurusan Majlis Amanah Rakyat (MARA) diberikan tempoh selama tujuh hari untuk menamatkan kontrak pengendali makanan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Intergrasi Nasional dan Sumber Manusia Negeri Perak, A. Sivanesan menegaskan, kontrak pengendali makanan itu tidak seharusnya disambung semula selepas tamat 31 Julai lalu kerana berlaku dua kes keracunan makanan dalam tempoh tiga minggu.

Menurut beliau, MARA perlu bertanggungjawab sepenuhnya jika kejadian keracunan berulang, sekiranya masih membenarkan pengendali makanan yang sama menyediakan makanan kepada pelajar maktab berkenaan.

““Mereka telah menyatakan kontraktor yang sama telah disambung tempoh pembekalan selama enam bulan lagi di mana perkara tersebut tidak harus dilayan oleh pihak MARA.

“Ini menyebabkan Jabatan Kesihatan memfailkan kes ke atas kontraktor tersebut,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Kejadian keracunan pertama di MRSM Taiping berlaku pada 12 Julai melibatkan 40 pelajar manakala yang kedua berlaku pada 1 Julai melibatkan 103 pelajar.

Sivanesan berkata, tindakan tegas perlu diambil kerana keselamatan pelajar-pelajar di maktab itu sangat penting kerana adalah antara pelajar terbaik yang merupakan masa depan negara.