PASIR SALAK 6 Mei – Sebuah keluarga sembilan beranak tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di sini semalam.

Norhisham Abdul Rahman, 42, berkata, kebakaran kira-kira pukul 7.40 malam itu bukan sahaja memusnahkan rumah pusaka yang baru didudukinya, malah turut merosakkan tiga buah kereta termasuk lima motosikal miliknya.

“Saya rasa kalau hendak difikirkan perkara ini rasa hendak menangis pun ada, cuma kita kena terima dan reda dengan segala ketentuan Ilahi.

“Alhamdulillah kesemua tujuh anak saya dan isteri selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tersusun Air Kuning di sini hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut sama meluangkan masa melawat keluarga berkenaan selain dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Menurut Norhisham, sewaktu kejadian dia baru pulang dari bekerja dan terlihat percikan api dari tiang elektrik di luar rumah menyambar papan suis utama kediamannya.

“Waktu itu anak-anak dan isteri saya kebanyakannya berada di dapur dan hendak sembahyang. Kebakaran berlaku pantas dalam masa empat minit selepas saya terlihat percikan api di tiang elektrik.

“Anak-anak saya terdiri daripada tiga lelaki dan empat perempuan dan kesemuanya berusia antara setahun lima bulan hingga 17 tahun. Ada yang menangis ketakutan dan kini kami terpaksa menumpang di rumah abang ipar berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri telah memberikan beberapa bantuan segera termasuk makanan, pakaian dan Kotak Harapan.

“Namun begitu, apa yang perlu kita usahakan ialah membina semula rumah yang telah rosak untuk keluarga ini secepat mungkin,” katanya. – UTUSAN ONLINE