Sibu: Lelaki berusia 48 tahun yang hilang sejak Ahad lalu ditemui mati di Sungai Selayar, Batang Paloh dengan keadaan mayatnya hanya tinggal separuh badan dipercayai diserang buaya pagi tadi.

Mangsa, Atong Kassin ditemui pada jam 11.55 pagi tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dengan keadaan tinggal separuh badan hingga paras pinggang dan hanya bertangan sebelah.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Operasi SAR dilancarkan petang semalam selepas keluarga Atong membuat laporan polis berikutan mangsa tidak pulang ke rumah.

Dia yang menetap di Rumah Panjang Sungai Jimmie dikatakan ke hutan berhampiran untuk mencari kayu api.

-myMetro