Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain.

Itulah yang terlintas di fikiran Raja Munawar Raja Badrul Shah,55 sewaktu mendapat khabar berita bahawa teman karibnya itu telah menyahut seruan Ilahi setelah terlibat dalam nahas helikopter di Sarawak pada 5 Mei lepas.

Raja Munawar berkata perkara pertama yang bermain di benak fikirannya adalah segala kenangan manis bersama rakan sekampungnya yang telah dikenalinya sejak 48 tahun yang lepas.

 

Menurut beliau, arwah Datuk Wan bukan sahaja rakan sekolah,jirannya malah sahabatnya ketika dimarahi orang tua sewaktu usia nakal satu ketika dahulu.

“Terlalu banyak kenangan mencuit hati malah manis yang dilalui bersama arwah yang sebaya dengan saya sendiri dari memancing, bermain basikal dan kena marah dengan orang tua kami bersama.

“Namun satu yang saya tak akan lupa walau setinggi mana jawatan yang disandangnya, beliau tidak akan berubah, bagaimana beliau melayan saya dahulu, begitulah juga perwatakannya sampai akhir hayatnya.

“Tapi,sifat kepimpinan serba bolehnya terserlah dari kecil- acara sukan 4×4,4×1, bola sepak, cemerlang dalam semua mata pelajaran termasuklah menjadi seorang pengawas dan ketua kelas,”ujarnya.

 

Raja Munawar berkata mata pelajaran paling digemari arwah adalah Matematik dan bakat serba boleh itu telah dikesan oleh para guru sejak sekolah rendah di Clifford School.

Menurut adik kandungnya, Wan Mohd Khir Johari Wan Ahmad, abang sulungnya itu amat menyayangi tanah kelahirannya sendiri dan pendekatan arwah di sekitar kawasan itu adalah amat unik dan begitu dekat di hati segenap pelusuk masyarakat setempat.

Katanya, abangnya itu merupakan seorang yang amat tegas peribadinya sebagai abang sulung namun pada masa yang sama amat demokratik dari segi kepimpinan dan perbincangan bersama ahli keluarga mahupun sahabat handai.

“Arwah abang saya ini seorang yang serba boleh, baik dari segi sukan dan pelajaran semuanya serba seimbang namun tidak pernah sesekali beliau mengabaikan tanggungjawabnya sebagai tunjang lelaki sulung dalam adik-beradik kami.

“Saya yakin, itulah yang dibawanya ketika menyandang jawatan di peringkat parlimen dan sebagai pengerusi MPOB, tidak pernah beliau memberikan alasan tanggungjawabnya di Kuala Lumpur dan seluruh dunia ataupun di Kuala Kangsar ini sendiri,”katanya kepada Suara Perak ketika ditemui di kediaman keluarga arwah.

 

Wan Johari atau mesra dikenali sebagai Wan Jo berkata amat sukar baginya untuk melihat abang kesayangannya itu melatah ataupun merungut sepanjang kehidupan beliau, meskipun dibebani pelbagai amanah dan kewajipan kepada keperluan rakyat.

Jelasnya, selain dikurniakan dengan peribadi yang peramah dan mudah tersenyum, arwah abangnya juga sememangnya dikenali sebagai seseorang yang pandai mengawal emosi dan professional.

“Tanyalah pada orang kampung, penat macam mana dan runsing macam mana pun abang saya itu, dia tetap akan tersenyum dan melayan kita dengan begitu ceria, itulah kualiti yang beliau miliki sejak dari kecil saya mengenalinya,”katanya lagi.