IPOH : Berdasarkan kepada laporan terkini jangkitan koronavirus yang mencatatkan jumlah kumulatif 10 kes positif di Malaysia, kerajaan negeri Perak menggesa seluruh rakyat agar mempertingkatkan usaha pencegahan untuk mengelakkan daripada terkena jangkitan itu.

Antara langkah yang disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah kerap mencuci tangan, elakkan sentuhan terus dengan haiwan liar, tidak mengambil sebarang produk haiwan yang mentah, menutup mulut ketika batuk atau bersin dan mengelak daripada bersentuhan dengan individu yang mempunyai gejala.

Exco Penerangan Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim juga menasihatkan mana-mana individu yang mengalami simptom jangkitan ini seperti demam, batuk dan sesak nafas untuk segera mendapatkan rawatan di hospital atau klinik berhampiran.

“Berkait dengan penularan berita tidak benar berkenaan kes ini, semua pihak diminta supaya merujuk kepada KKM bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan kes ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hasnul, kerajaan negeri akan terus memantau dan mengikuti perkembangan semasa bagi memastikan segala keperluan dan pelan tindakan yang dibuat mengikut ‘Standard Operational Procedure’ (SOP) yang ditetapkan sekiranya terdapat kes yang berlaku di negeri ini.