LANGKAP: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu sumbangan agromakanan kepada Keluaran Dalam Ngara Kasar (KDNK) ditingkatkan daripada 3.3 peratus tahun lalu kepada lima peratus menjelang hujung Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11).

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan-kerajaan negeri memastikan tiada lagi tanah terbiar dan penggunaan tanah-tanah sedia ada dioptimumkan.

Di samping itu, beliau turut meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperbanyakkan program motivasi untuk mengubah sikap petani supaya berdaya maju dan berdaya saing.

Zahid yakin, sasaran itu mampu dicapai sekiranya semua pihak memberi komitmen, seperti yang dilakukan negara Belanda yang menjadi pengeluar produk pertanian kedua tertinggi di dunia.

“Seluruh negara Belanda itu sebesar Pahang sahaja tetapi mereka menjadi pengeluar bahan pertanian yang kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat.

“Apatah lagi kalau kita melihat secara holistik, Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah, jika dimobilisasikan gelombang tani ini, saya fikir, kalaupun tidak lebih daripada Belanda, insya Allah kita akan menjadi pesaing utama Belanda dari segi pengeluaran produk-produk pertanian di dunia ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan program Gelombang Tani Nasional 2017 di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak dekat sini pada Sabtu.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan dua Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman dan Datuk Nogeh anak Gumbek.

Timbalan Perdana Menteri, usaha itu boleh dicapai sekiranya semua pihak, khususnya petani sendiri bersedia untuk berubah sikap.